Penulis: Dr. Shahino Mah Abdullah
Pensyarah Kanan, Program Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia
Matahari adalah pusat sistem suria kita, manakala Bumi dan planet lain bergerak mengelilinginya dalam orbit masing-masing serta berputar pada paksinya dengan kelajuan tertentu. Adapun pergerakan kesemua planet-planet (Utarid, Zuhrah, Bumi, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus, dan Neptun) mengeliligi matahari secara heliosentrik ini dicadangkan oleh ahli astronomi barat seperti Copernicus, Kepler, dan Galileo sejak abad ke-16 dan ke-17, al-Qur‘an yang diturunkan pada abad ke-7 telah lebih dahulu menyebut tentang kosmologi (Surah al-Furqan: 61, surah Ibrahim: 33, surah Yasin: 40, dan surah Anbiya: 33 dan banyak lagi) yang melibatkan bukan sahaja pergerakan bulan, malah pergerakan matahari yang didapati turut bergerak pada laluannya mengelilingi pusat galaksi bima sakti.

Bumi menjadi planet yang boleh didiami untuk semua hidupan terletak pada zon Goldilock iaitu pada julat jarak ideal dari matahari dengan suhu sesuai yang membolehkan molekul air, iaitu sumber bagi semua makhluk hidup, untuk terus kekal dalam bentuk cecair. Ia disokong oleh atmosfera Bumi yang mengandungi komposisi gas-gas dan pelbagai nutrien yang seimbang untuk hidupan, selain menjadi pelindung utama dengan memiliki medan magnet kuat yang berperanan sebagai perisai Bumi dari pancaran radiasi matahari. Keseimbangan ini turut disebut dalam al-Qur‘an melalui Surah al-Mulk ayat 14 yang menerangkan kuasa Allah dalam menciptakan Bumi dengan keseimbangan yang tepat. Dari Bumi yang kita diami ini, kita bukan sahaja dapat melihat matahari, bulan dan bintang-bintang apabila mendongak ke langit, kita juga dapat melihat planet-planet lain dalam sistem suria. Tidak seperti Bumi, planet-planet berkenaan mempunyai warna, permukaan, saiz dan sifat fizikal lain yang amat berbeza dari Bumi, dan ia hanya boleh dilihat dengan lebih jelas secara cerapan teliti dengan menggunakan teleskop astronomi.
Sebenarnya, kebanyakan planet ini dapat dilihat dengan mata kasar dari Bumi tanpa menggunakan apa-apa alatan. Akan tetapi ia terlihat seperti bintang-bintang lain di langit malam kerana penampakannya adalah seperti objek jauh yang bercahaya dan ia akan dianggap sebagai bintang yang bersinar muncul dari segenap pelusuk angkasa. Dari kesemua planet ini, planet Zuhrah (Venus) terlihat paling terang kerana ia bukan sahaja memiliki orbit paling dekat dengan orbit Bumi, malah ia turut mempunyai permukaan yang mengandungi awan tebal bersifat memantulkan cahaya. Disebabkan ia terlihat bercahaya begitu terang seperti bintang, ia dikenali sebagai bintang Kejora. Walaupun Zuhrah adalah planet kedua terdekat dari matahari selepas planet Utarid (Mercury), ia adalah planet yang paling panas sekali kerana lapisan atmosferanya yang tebal memerangkap haba begitu banyak dari matahari.
Selain itu, planet Marikh (Mars) dapat dilihat dengan mata kasar dari Bumi seperti bintang yang berwarna merah. Planet kecil yang diselubungi debu merah ferum (III) oksida ini dapat dilihat lebih jelas ketika ia terletak pada titik di orbitnya yang paling berdekatan dengan Bumi atau dipanggil istiqbal. Planet merah ini dapat dilihat dengan jelas menggunakan teleskop berkuasa tinggi dengan apertur lapan inci ke atas, lebih-lebih lagi pada awal tahun ini dimana peristiwa istiqbal sedang berlaku. Planet lain yang turut menarik untuk dilihat dari Bumi adalah planet Musytari (Jupiter) dan Zuhal (Saturn). Planet Musytari merupakan planet paling besar dalam sistem suria, kelihatan bersinar terang dan dapat dilihat sepanjang tahun. Dengan mengunakan teleskop, planet ini dilihat mempunyai beberapa jalur berwarna putih, kuning air, kuning, coklat, merah dan oren. Warna-warna ini berasal dari awan planet yang mengandungi titisan air, hablur ais, hablur ammonia dan unsur-unsur lain. Juga dapat dilihat dari Bumi ialah Tompok Merah Besar Musytari iaitu sistem ribut gergasi bersaiz dua kali Bumi yang kelihatan sebagai titik merah-oren.
Planet Zuhal, iaitu planet kedua terbesar dalam sistem suria, pula terlihat indah dengan mempunyai lingkaran cincin di sekitarnya. Sebenarnya, Zuhal bukan satu-satunya planet yang mempunyai lingkaran di sekelilingnya, planet lain seperti Musytari, Uranus dan Neptun turut mempunyai lingkaran, tetapi lingakran planet Zuhal adalah yang paling besar dan paling terang berbanding yang lain. Planet ini turut mempunyai jumlah bulannya yang paling banyak melebihi tujuh puluh, dimana bulan terbesarnya iaitu Titan memiliki saiz lebih besar dari planet Utarid. Manakala dua lagi planet yang jauh iaitu Uranus terlihat berwarna kebiruan dan Neptun yang amat sukar dilihat dari bumi berwarna seakan biru kehijauan. Planet Uranus mempunyai paksi unik yang hampir selari dengan orbitnya dimana ia dilihat berputar pada sisinya. Planet Neptun pula dikenali sebagai Gergasi Ais kerana saiznya yang besar, tetapi terletak terlalu jauh dari matahari yang mengakibatkan permukaannya diselaputi ais.
Istimewanya pada awal tahun 2025 ini, kesemua tujuh planet yang lain iaitu Zuhal, Utarid, Neptun, Zuhrah, Uranus, Musytari dan Marikh dapat dilihat pada waktu malam yang sama sekiranya tiada gangguan cuaca. Menariknya, planet-planet ini dapat dilihat dalam keadaan tersusun. Peristiwa ini dikenali sebagai ‘Planet Parade’ atau perarakan planet, dan lebih tepat lagi dipanggil ‘Planet Aligment’ atau Jujukan/Penjajaran Planet mengikut istilah astronomi, berlaku pada awal tahun ini. Keindahan jajaran planet-planet yang tersusun ini dapat dilihat diwaktu malam selepas maghrib sebaik sahaja matahari terbenam di mana sahaja termasuklah di Malaysia. Planet Zuhrah, Zuhal, Musytari dan Marikh dapat dilihat dengan mata kasar, manakala, planet yang lain amat sukar dilihat tanpa alat bantuan akibat samada terlalu dekat, mahupun terlalu jauh dari matahari.


Tanpa teleskop, atau sekurang-kurangnya binokular, tidak kesemua planet ini dapat dilihat dengan jelas. Sebaiknya, untuk mencerap jajaran planet-planet ini adalah dengan menggunakan teleskop optikal canggih dengan apertur lapan inci ke atas. Walau bagaimanapun, teleskop dengan apertur minimum tiga inci juga dapat membantu peminat astronomi untuk melihat planet tersebut, akan tetapi hasilnya adalah amat terhad. Di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia, teleskop asas seperti teleskop jenis Newtonian, Schmidt-Cassegrain, dan teleskop pintar bermotor dengan sambungan WiFi yang boleh menjejak objek angkasa secara automatik, digunakan untuk tujuan pengajaran. Teleskop ini turut membantu penyelidikan astronomi bagi projek pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda program Fizik Gunaan. Tidak ketinggalan, dalam meneroka angkasa lepas, ilmu falak turut diajar dalam mendalami astronomi Islam dan penentuan fenomena penting Islam melalui subjek elektif bebas iaitu Astronomi & Falak. Aktiviti astronomi dan falak di antara pelajar dan masyarakat sekitar amat penting bagi membuka peluang kepada umum bukan sahaja untuk mengetahui lebih lanjut fenomena astronomi yang menarik, malah dapat membetulkan fahaman penting masyarakat terhadap bidang ilmu ini. Usaha ini selari dengan ajaran Islam untuk terus meneroka alam ciptaan Allah dalam melihat tanda-tanda kebesaranNya seperti yang disebutkan dalam surah Ali Imran ayat 190.
Dr Shahino Mah Abdullah ialah Pensyarah Kanan, Program Fizik Gunaan, di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia (email: shahinomah@usim.edu.my)